Selasa, 17 Mac 2009

Skuad wanita layak ke Rusia

Oleh RADIAH SAORI
radiah@kosmo.com.my



SKUAD hoki wanita negara giat berlatih di bawah kendalian Yahya Atan (belakang).

--------------------------------------------------------------------------------


SKUAD hoki wanita negara menerima khabar gembira apabila berjaya melayakkan diri beraksi pada Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara II yang akan diadakan di Kazan, Rusia, Jun depan.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Wanita Malaysia (PHWM), Dr. Shamala Subramaniam, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIM) telah menghantar undangan rasmi bagi menjemput Malaysia menyertai kejohanan yang diadakan buat pertama kali itu.

"Malam tadi (semalam) kami menerima undangan rasmi daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menyertai kejohanan ini," kata Shamala.

"Ini merupakan khabar gembira buat kami memandangkan ia adalah kejohanan yang berprestij dan hanya pasukan yang layak berdasarkan ranking dunia sahaja yang diundang menyertainya.

"Ini merupakan kali pertama pasukan hoki wanita negara berjaya melayakkan diri secara merit pada kejohanan bertaraf dunia seperti ini.

"Dahulu, Malaysia lebih banyak beraksi pada pusingan kelayakan sahaja termasuklah kelayakan Sukan Olimpik.

"Kejohanan ini juga memberi peluang terbaik buat pemain-pemain negara beraksi menentang pasukan handalan dunia yang lain."

Menurut Shamala lagi, kejohanan itu dianggap sebagai satu babak baru dalam skuad hoki wanita negara dalam mencapai misi mara ke pusingan separuh akhir Sukan Asia 2010.

"Sebenarnya, kami mempunyai sasaran untuk mara ke pusingan separuh akhir Sukan Asia 2010 dan kejohanan ini merupakan permulaan terbaik untuk mencapai matlamat kami," tambah Shamala.

"Kami juga berpeluang untuk memperbaiki ranking dunia dengan menyertai kejohanan ini. Sememangnya pemain-pemain negara perlu menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa seperti ini.

"Saya harap, pemain negara dapat menggunakan sepenuhnya peluang beraksi pada kejohanan ini bagi memperbaiki lagi prestasi pasukan negara."

Selain Malaysia, cabaran Juara-Juara II juga akan disertai oleh Belgium, Ireland, Chile, India, Ukraine, Kanada dan tuan rumah, Rusia.

Pada kejohanan yang akan diadakan pada 21 hingga 27 Jun itu nanti, pasukan yang bertanding akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan dua terbaik di setiap kumpulan mara ke pusingan separuh akhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan