Selasa, 17 Mac 2009

Seni Bumi Perang

Seni bumi perang
Pameran yang sedang berlangsung di ibu kota Iraq melibatkan karya-karya artis terkemuka seperti Alaa al-Hamdani, Sattar Luqman dan Monther Ali.



SALAH sebuah galeri lukisan di daerah Karrada di Banghdad yang mempamerkan karya tersohor pelukis-pelukis Iraq.

--------------------------------------------------------------------------------


ENAM tahun selepas Amerika Syarikat (AS) menyerang Iraq, galeri seni kembali dibuka di Baghdad sebagai tanda pertama kebangkitan semula bandar kebudayaan yang telah lama bertapak di dunia Arab.

Seperti yang dilakukan berabad-abad sebelum ini, artis-artis Iraq kembali menunjukkan jalan dan menggunakan kesempatan daripada pengurangan dalam perbezaan mazhab untuk membangunkan semula tradisi kebanggaan mereka.

Galeri-galeri di bandar, sama ada dimiliki oleh orang persendirian atau Kementerian Kebudayaan, telah melancarkan pameran empat musim, menghidupkan kembali amalan yang bermula pada 1950-an. Amalan itu tersekat akibat serangan AS terhadap Iraq.

"Semua galeri menunjukkan kebangkitan yang membanggakan dan mencatat aktiviti di peringkat tertinggi," kata Salah Abbas, yang menganggotai jawatankuasa persendirian Plastic Artist. Kesenian plastik menggunakan bahan-bahan yang boleh dibentuk untuk menghasilkan kerja seni.

"Kami telah menerima berpuluh-puluh permintaan untuk membuka galeri di Baghdad dan beberapa bandar lain," jelas Abbas yang juga pengarang di Tashkeel, sebuah majalah yang diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan.

"Kami akan melakukannya dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan meskipun artis-artis yang terlibat tidak disubsidi oleh kerajaan," tambahnya.

Abbas berkata, tahap kejatuhan keganasan di seluruh negara itu mempunyai kesan psikologi kepada kedua-dua pihak iaitu artis dan juga pencinta seni yang melawat galeri.

Bulan Februari lalu menyaksikan 258 rakyat Iraq terbunuh selepas 191 penduduk mati pada bulan Januari, iaitu jumlah kematian paling rendah dicatatkan sejak peperangan pada 2003.

Beberapa tahun kebelakangan ini juga menyaksikan perkembangan dramatik dalam aspek situasi keselamatan. Pada tahun lalu, sebanyak 6,772 rakyat Iraq terbunuh akibat keganasan, tetapi pada Januari 2007 hanya terdapat 2,087 orang terbunuh.

"Akibat situasi teruk itu, semua galeri menerima kesannya dan terpaksa ditutup demi keselamatan. Oleh itu, para artis beralih arah ke galeri luar negara untuk memasarkan hasil kerja mereka," jelas Abbas lagi.

"Bagaimanapun, sekarang situasi sudah jauh berubah dan banyak galeri seni telah dibuka semula."

Sebelum serangan tentera AS pada Mac 2003, Baghdad sendiri mempunyai hampir 60 buah galeri seni, tetapi hanya tiga yang mampu meneruskan survival selepas kejatuhan pemerintahan Saddam Hussein iaitu Hewar, Akad dan Madarat bersama studio individu yang mempunyai jumlah pelukis yang sedikit.

Hari ini, pameran sedang berlangsung melibatkan karya-karya artis terkemuka Iraq seperti Alaa al-Hamdani, Sattar Luqman dan Monther Ali. Lebih ramai artis dijadualkan menyertai pameran tersebut di kota Baghdad tidak lama lagi.

"Terdapat banyak aktiviti kebudayaan berbeza yang dijalankan termasuk kesenian plastik, kesenian dan kesusasteraan," ujar Abbas.

Penulis-penulis dan penyair mengadakan pertemuan atau mesyuarat mingguan. Pada Oktober lalu Teater Kebangsaan Baghdad mementaskan persembahan pertama mereka sejak serangan AS.

Di kota selatan, Basrah dan Hilla, masing-masing menampilkan tiga galeri yang kini dibuka kepada orang ramai. Begitu juga di utara Baghdad iaitu di wilayah Arbil dan Sulaimaniyah.

Monther Ali yang merupakan seorang artis pengarca percaya peningkatan situasi keselamatan akan menggalakkan orang ramai keluar dan melawat galeri kesenian.

"Peluang untuk membuka galeri kini semakin cerah dan sekarang lebih mudah untuk kami mengembara," kata pengarca berusia 61 tahun itu.

Psikologi memainkan peranan utama bagi menyuntik semangat kepada orang ramai melawat galeri-galeri kesenian.

Ali kini mengadakan pameran bertajuk A Memory in Baghdad di Galeri Magadart, berhampiran sebuah sekolah seni halus.

Katanya, dia merasakan kota tersebut ialah sebuah taman subur sebelum ia menjadi medan keganasan dan kemusnahan.

"Kami mahukan ketenangan dan kedamaian selepas Baghdad mengalami penderitaan sejak lebih lima tahun lalu," pintanya dengan penuh harapan.

Ukiran kayunya menggambarkan wanita yang menjadi mangsa keganasan, dalam ketakutan dan trauma apabila melihat mayat-mayat yang bergelimpangan.

Di Galeri Akad yang terletak di pesisir Jalan Abu Nawas, artis Sattar Luqman mengadakan pameran ketiganya yang menampilkan lebih daripada 30 karya seni yang menggambarkan pesona kehidupan dan tradisi di Baghdad.

Luqman, 65, merupakan lulusan sekolah seni halus dan ahli jawatankuasa Plastic Artists yang pernah mengadakan pameran di Kuwait pada tahun 1971, sebelum pemerintahan Saddam yang penuh dengan peperangan. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan