Isnin, 16 Mac 2009

Pupuk cinta orang muda


KEAMANAN serta kedamaian negara tanpa perang, tanpa bom dan tanpa darah kadang-kadang membuatkan sebilangan daripada masyarakat Malaysia hidup dalam leka.
Ada juga di kalangan generasi baru hari ini tidak kenal erti sejarah dan tidak menghargai nikmat yang dikecapi sehinggakan mereka alpa dan kabur tentang ke mana arah hendak dituju.
Di situlah media dan pucuk pimpinan kerajaan harus menyemai peranan, yang buruk dijadikan tauladan dan baik dijadikan sempadan.
Untuk sempadan diri dan memberi sokongan kepada masyarakat dunia khususnya generasi yang muda yang tidak berpeluang hidup sentosa seperti mana yang dinikmati di Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan mengambil inisiatif menganjurkan Konsert Menjunjung Damai - Belia Malaysia Cintakan Keamanan.
Tujuannya bukan sahaja untuk menyemarakkan muzik dan seni yang menjadi budaya sihat anak muda masa kini tetapi acara sebegitu juga dapat menyerapkan perkembangan sahsiah dan pembangunan modal insan yang positif dalam diri anak muda Malaysia.
Jika matlamatnya sampai ke jiwa semua, acara itu boleh menggerakkan anak muda Malaysia menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab, mempunyai ketahanan diri, daya saing, daya tahan, daya juang dan berwawasan yang asasnya adalah melalui melodi muzik dan seni.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, acara itu bukan sekadar satu acara, sebaliknya dengan manifestasi yang cukup bersemangat untuk memupuk rasa kasih sayang golongan muda demi cinta serta kasih kepada negara yang telah menghadiahkan sejuta keamanan kepada mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan