Jelajah Malaysia lebih mencabar
Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
wanfakhrul@kosmo.com.my
BERSEMANGAT... Barisan pelumba tempatan yang akan beraksi pada JM 2009.
--------------------------------------------------------------------------------
KEJOHANAN Lumba Basikal Jelajah Malaysia 2009 (JM 2009) tampil lebih mencabar.
Pelumba akan diuji sepenuhnya kerana ada dua laluan sukar yang perlu diharungi iaitu pendakian di Genting Highlands dan Gerik.
Jelajah tertua itu akan membuka gelanggang bermula dari 19 hingga 26 April depan.
Untuk memeriahkan lagi saingan, perlumbaan tahun ini akan ditambah dengan satu peringkat lagi menjadikannya lapan berbanding hanya tujuh peringkat pada musim lalu.
Dengan penambahan itu, JM 2009 bakal menampilkan dua peringkat pendakian iaitu Peringkat 3 dari Gerik ke Tanah Merah merentasi Banjaran Titiwangsa sejauh 172.7 kilometer dan Peringkat 7 dari Tanjung Malim ke Genting Highlands sejauh 116 kilometer.
Pengarah eksekutif kejohanan, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, JM 2009 sejauh 1,240 kilometer itu akan disertai 120 pelumba dari 20 buah pasukan dengan lima pasukan tempatan membawa cabaran Jalur Gemilang.
"Lima pasukan tempatan adalah pasukan kebangsaan, pasukan benua Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), pasukan LeTua, pasukan Terengganu dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.
Astaman berkata demikian pada Majlis Pelancaran Logo dan Pengumuman Laluan JM 2009 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wee Jack Seng yang turut dihadiri Presiden MNCF, Abu Samah Wahab.
Dalam tempoh dua tahun saja, JM telah pun dipertimbangkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk dinaik taraf daripada kategori 2.2 sedia ada kepada kategori 2.1 yang lebih berprestij selepas ini.
Menurut Astaman, hadiah wang tunai keseluruhan JM telah meningkat daripada RM245,000 pada tahun lalu kepada RM280,000 bagi saingan kali ini tetapi dia mengambil sikap untuk merahsiakan kos sebenar kejohanan kali ini.
"Kos buat masa ini kami rahsiakan dulu. Memandangkan ekonomi tak menentu, kita ambil langkah berjimat.
"Kos JM 2009 adalah sama dengan JM 2008 walaupun hari perlumbaan ditambah sehari.
"Tentang penajaan pula, kami sedang dalam peringkat akhir perbincangan.
"Insya-Allah bila tiba masanya, kita akan umumkan nanti," ujarnya.
Tambah Astaman, jika diberi peluang untuk terus menjadi penganjur JM pada masa akan datang, dia mengimpikan untuk membawa kejohanan itu ke Sabah dan Sarawak.
Sebanyak 13 pasukan benua, iaitu jumlah terbesar bagi kejohanan bertaraf 2.2 antaranya pasukan Savings & Loan (Australia), Jelly Belly (Amerika Syarikat), Azad University (Iran), Shimano (Jepun), Tabriz Petrochemical (Iran), Giant Asia (Taiwan), pasukan kebangsaan Indonesia dan Thailand.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)


Tiada ulasan:
Catat Ulasan