
Elis sakit rindukan Ferris
Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammarjazlan.madlela@kosmo.com.my
KERATAN Kosmo! 12 Mac.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR – Tahap kesihatan Elis Syuhaila Mokhtar, 33, iaitu ibu kepada seorang kanak-kanak, Ferris Mokhtar Van De Ven, 5, yang didakwa dibawa lari oleh suaminya sejak hampir dua minggu lalu kini mula terjejas kerana dia terlalu memikirkan nasib anaknya itu.
Menurutnya, selain tidak dapat tidur nyenyak pada waktu malam, selera makannya juga semakin hilang menyebabkan berat badannya mulai susut dari sehari ke sehari.
“Ibu mana yang tak sayangkan anak. Sudah pelbagai cara saya lakukan untuk mencarinya tetapi menemui jalan buntu. Saya hanya mampu menatap gambar-gambarnya bagi mengubat kerinduan.
“Malah sehingga hari ini (semalam) saya masih gagal menghubungi bekas suami, Frank Theodorus Van De Van @ Firdaus untuk mengetahui di mana Ferris berada,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Elis, selain memikirkan keselamatan anaknya itu, dia juga khuatir sekiranya bekas suaminya bertindak melarikan anak mereka ke luar negara.
“Saya difahamkan visa pelancong yang bekas suami gunakan untuk menetap dan bekerja di negara ini akan tamat dalam tempoh kurang tiga minggu.
“Situasi itu menyebabkan hati saya semakin tidak tenteram, apatah lagi Ferris turut mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Belanda. Saya bimbang ia akan dijadikan alasan untuk melarikan Ferris,’’ dakwanya.
Katanya, dia banyak menerima panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasibnya di samping menawarkan bantuan bagi membantu mencari anaknya itu.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan